Sunday 13 May 2012

Bagaimana mengguna racun secara betul

Bagaimana mengguna racun secara betul

Langkah-langkah keselamatan dalam penggunaan racun

Bahan kimia pertanian mestilah sentiasa digunakan dengan cermat. Setengah daripadanya adalah  racun kepada haiwan dan yang lain adalah merbahaya kepada manusia apabila tersedut atau terserap dengan banyaknya atau kerana seseorang itu terdedah lama kepadanya. Untuk menggunakan bahan kimia ini dengan selamat, bahayanya kepada kesihatan mestilah difahami dahulu. Tidak seorang pengguna pun yang harus didedahkan kepada bahan kimia selama lebih daripada enam jam sehari. Langkah-langkah untuk mengelakkan atau mengurangkan kecederaan daripada dedahan kepada racun perosak haiwan haruslah diambil pada peringkat-peringkat seperti disebutkan di bawah:
Semasa menyimpan

i.             Simpan racun perosak haiwan di tempat yang kering dan mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Keadaan kering mengurangkan kakisan atas bekas-bekas logam, dan pengudaraan yang cukup menyingkirkan asap dari bilik itu.
ii.            Kunci bilik itu dengan sempurna untuk mengelakkan bahan-bahan kimia dari sampai ke tangan kanak-kanak dan binatang.
iii.           Jauhkan racun perosak haiwan dari cahaya matahari kerana ia boleh merosakkan mutunya.
iv.          Sentiasa menyimpan bahan-bahan kimia itu dalam bekas yang berlabel. Bekas yang rosak hendaklah diganti. Label-label  itu akan mengurangkan risiko menggunakan bahan-bahan kimia yang salah.
v.           Beri ruang yang cukup untuk bergerak supaya dapat mengelakkan kemalangan seperti melanggar atau menumpahkan bahan-bahan kimia pertanian.
Sebelum menggunakan

i.             Hendaklah selalu berfikir samada betul-betul perlu benar untuk menggunakan racun perosak itu.
ii.            Jika ada beberapa racun perosak haiwan yang boleh digunakan, pilih yang paling kurang bisa kepada manusia dan haiwan.
iii.           Sentiasa baca arahan  pada label sebelum menggunakan dan ikut arahan  itu dengan betul, terutama sekali langkah-langkah keselamatan yang mesti di ambil dan  sukatan yang hendak digunakan.
iv.          Gunakan penyembur yang berasingan bagi jenis racun perosak haiwan yang berlainan.

Apabila mencampur

i.             Jangan sekali-kali menggunakan tangan apabila mencampur racun perosak kerana kulit tangan mungkin akan menyerap bahan-bahan itu. Selalu gunakan bahan lain seperti kayu dan lainlain.
ii.            Patuhi arahan-arahan pada label di bekas. Gunakan sukatan yang betul. Jangan gunakan ia berlebihan kerana ini akan merbahaya kepada tanam-tanaman yang disembur dan juga kepada alam sekeliling.
iii.           Jangan makan, minum atau merokok semasa mencampur untuk mengelakkan pengambilan racun perosak haiwan dengan tidak sengaja.
iv.          Campur racun perosak itu dengan lebih cermat di tempat terbuka yang berudara cukup. Elakkan dari terpercik atau tertumpah dan elakkan menyedut asap bahan-bahan kimia itu

Apabila menggunakannya
i.             Periksa penyembur itu untuk sebarang kebocoran sebelum mengisinya dengan larutan racun perosak. Sebarang kebocoran akan menambahkan lagi risiko pendedahannya kepada pengguna.
ii.            Jangan menyembur melawan arah angin kerana ini akan menghalakan semburan itu ke muka pengguna. Jika boleh, elakkan dari menyembur ketika angin kencang.
iii.           Pakai pakaian pelindung seperti sarung tangan dan topeng (Goggle) bagi mengelakkan sentuhan racun itu kepada kulit badan dan mengelakkan menyedut semburan, habuk atau asap.
iv.          Jangan makan, minum dan merokok semasa menyembur.
v.           Ingatkan orangramai supaya jangan masuk ke kawasan yang sedang di sembur. Gunakan papan tanda.

Selepas digunakan

i.             Basuh dan bilas semua penyembur hingga bersih sebelum disimpan.
ii.            Bekas-bekas bahan kimia yang kosong mestilah dikemek-kemekkan, dibakar atau ditanam. Jauhkan diri daripada asap  jika bekas-bekas itu di bakar kerana asap itu mengandungi racun dioxin.
iii.           Mandi bersih-bersih dan tukar pakaian yang bersih.
iv.          Salurkan air yang digunakan ke dalam tangki khas untuk mengelakkan pencemaran kolam atau sungai
v.           Jangan mulakan kerja memungut hasil sehingga binatang ternakan atau tanaman yang disembur itu tidak merbahaya lagi untuk dipasarkan.

No comments:

Post a Comment