Sunday 29 April 2012

Bioaerosol dan Kontaminasi Dalam Bangunan




Bioaerosol dan Kontaminasi Dalam Bangunan

oleh Wardah bt Abdul Rahman

MSc (Microbiology) USM

Kualiti udara dalaman atau ‘Indoor Air Quality’ (IAQ) adalah keadaan persekitaran dalaman sesuatu bangunan yang boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti suhu, kelembapan dan pencahayaan. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, kualiti udara dalam bangunan amat dititikberatkan. Cari sahaja maklumat berkenaan topik ini, pasti hasil kajian dari negara ini mendahului.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Percaya atau tidak, kita hanya mempunyai satu ‘Code of Practise’ yang merangkumi perkara berkaitan kualiti udara dalaman di dalamnya. Tidak ramai yang menyedari kepentingan diwujudkan akta atau undang-undang yang lebih tegas dan khusus dalam bidang kualiti udara dalaman ini memandangkan secara lazimnya, akta dan peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kementerian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Department of Occupational Safety and Health) lebih banyak dikaitkan dengan tanggungjawab pemaju menyediakan persekitaran yang selamat untuk penghuni, tanggungjawab majikan kepada pekerja dan sebagainya.

Secara umumnya, permasalahan kualiti udara dalaman di Malaysia dibahagikan kepada dua punca iaitu pencemar udara dalaman dan pengudaraan dalaman yang tidak mencukupi. Pencemar udara dalaman pula banyak menekankan sumber pencemaran udara dalaman yang terdiri daripada asap tembakau, bahan kimia, pemeruapan bahan organik, penggunaan pelarut serta ozon yang terpancar dari penggunaan mesin pencetak berlaser[1].

Di negara lain, kualiti udara dalaman turut berkait rapat dengan kadar kehadiran campuran kompleks bioaerosol (kulat, bakteria dan alergen) dan partikel bukan biologi (habuk, asap tembakau, partikel yang dihasilkan akibat memasak, asap kenderaan dan partikel dari kilang penjana terma)[2]. Malah, bahaya kehadiran bahan-bahan ini kepada kesihatan manusia turut diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia di dalam buku panduan yang dikeluarkan pada tahun 2002.
Paras pencemaran udara boleh dikaitkan dengan pengurangan fungsi paru-paru, peningkatan simptom pernafasan seperti batuk, sesak nafas, nafas yang termengah-mengah, serangan athma, penyakit kardiovaskular dan kanser paru-paru.’[3]

Rakyat Malaysia masih kurang kesedaran dalam isu ini dan tidak ramai yang begitu prihatin atau mengetahui bahawa kewujudan partikel-partikel seni atau mikroorganisma di dalam bangunan boleh membawa kepada kemudaratan ke atas kesihatan manusia. Fenomena ini mungkin disebabkan oleh negara kita kekurangan pakar dan pengkaji dalam bidang ini atau belum ada lagi kes kematian yang benar-benar dapat disahkan berpunca daripada hidupan seni ini.

Kontaminasi atau pencemaran udara dalam bangunan boleh berlaku apabila terdapat sumber-sumber serta bahan yang merangsang pertumbuhan partikel bioaerosol. Bahan-bahan berasaskan kayuan atau mengandungi substrat seperti selulosa dan karbohidrat amat sesuai bagi pertumbuhan kulat. Tidak hairanlah di dalam bangunan yang telah terkontaminsai, permukaan almari, siling, permaidani, bahkan langsir juga boleh dijumpai struktur pembiakan kulat iaitu spora melekat padanya. Bangunan pejabat yang mempunyai kubikal-kubikal kecil dan menggunakan pembahagi papan lembut juga turut menjadi faktor berlakunya pertumbuhan kulat. Bahan-bahan ini mengandungi sumber nutrien bagi kulat iaitu gula ringkas ataupun gula kompleks (dapat dihadam oleh kulat melalui pembebasan enzim yang tersendiri).

Sekarang, mungkin persoalan-persoalan ini yang berlegar di dalam minda.
1.Bagaimana untuk mengetahui kehadiran partikel bioaerosol di dalam sesuatu bangunan?
2.Apakah cara untuk mengukur tahap kehadiran dan keseriusan partikel bioaerosol tersebut?

Persampelan udara menggunakan alat perangkap udara adalah antara kaedah umum yang biasa dilakukan. Udara di diperangkap dan dipamkan ke atas piring petri yang mengandungi media agar khas. Selepas 2-3 hari, bilangan spora dan serpihan miselium yang hidup dan membentuk satu koloni di atas media diambil kira bagi menghitung unit pembentuk koloni per meter padu udara (cfu/m3). Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Antarabangsa telah menetapkan kadar cfu/m3 yang maksimum ialah 1000. Pada tahun 1987, ACGIH (American Conference of Governmental Industrial Hygienists) juga menetapkan 1000 cfu/m3 dengan jumlah bakteria yang dikulturkan tidak melebihi 500 cfu/m3 [4].

Malaysia hingga kini belum mempunyai kadar yang piawai berkenaan cfu/m3 dan kita perlu merujuk kepada kadar piawai yang ditetapkan oleh akta atau peraturan yang dikeluarkan oleh negara-negara luar. Jelaslah, kes ‘serangan kulat’ di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru yang berlaku pada tahun 2005 yang lalu belum menjadi pengajaran yang berharga dan berupaya ‘membuka mata’ pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan agar lebih serius dalam menangani serangan organisma seni ini.

Persekitaran dalaman sebuah bangunan lebih-lebih lagi hospital seharusnya menjadi tempat yang paling steril dan 1000 cfu/m3 bukanlah nilai yang perlu diambil sebagai perbandingan. Bagaimana pula dengan kualiti udara dalaman di bangunan-bangunan lain seperti pejabat, kelas, dewan kuliah malah rumah kita sendiri?

Berikut adalah beberapa saranan dan cadangan yang penulis rasakan boleh diteliti bersama.
1. Masyarakat sebaiknya dididik dengan pengetahuan tentang bahaya dan kesan buruk yang dibawa oleh partikel bioaerosol di persekitaran mereka melalui edaran risalah ataupun kempen dan pameran bergerak. Mereka perlu disedarkan bahawa masalah kesihatan iaitu simptom seakan-akan demam yang kerap dialami oleh penghuni dalam sesuatu bangunan seperti batuk, mata berair, sakit tekak dan pening kepala boleh juga berlaku disebabkan oleh kehadiran partikel bioaerosol dalam kuantiti yang tidak terkawal.
2. Ciri-ciri persekitaran dalam bangunan yang baik, kaedah serta langkah kawalan bagi mengelakkan kontaminasi dalam bangunan berlaku pada skala serius juga perlu diterangkan dengan jelas. Penggunaan cat anti-kulat dan pemasangan sistem pengudaraan yang baik adalah antara langkah awal yang patut disarankan.
3. Terdapat kajian yang menunjukkan manusia kebanyakannya menghabiskan 80-90% masa mereka di dalam bangunan dan menyedut 35 gelen udara setiap hari iaitu hampir 20 000 sedutan udara. Oleh itu, kesedaran tentang kualiti udara dalaman seharusnya ditingkatkan dengan menggubal akta atau undang-undang yang terlibat agar lebih khusus dalam penetapan kadar kualiti udara yang sepatutnya dipatuhi oleh pemaju.
4. Kadar piawai bagi unit pembentuk koloni per meter padu udara (cfu/m3) ditetapkan berdasarkan keputusan kajian yang menyeluruh dan terperinci. Hal ini kerana faktor iklim Malaysia yang tidak sama sperti negara empat musim yang lain mungkin sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kadar piawai yang sepatutnya.
5. Kajian-kajian fundamental mengenai partikel bioaerosol khususnya pengenalpastian spesies kulat mahupun bakteria yang diperangkap dari dalam bangunan serta berpotensi menyumbang kepada masalah kesihatan manusia perlu diperbanyakkan. Maklumat kajian ini pasti berguna terutamanya dalam kajian lanjutan melibatkan langkah mengawal atau merawat persekitaran yang mengalami masalah kontaminasi tersebut.
6. Kementerian Sains dan Teknologi boleh memberi galakan dan insentif yang lebih kepada para pengkaji yang melakukan penyelidikan fundamental khususnya berkaitan taksonomi dan pengkelasan mikroorganisma yang termasuk dalam kumpulan bioaerosol. Sungguhpun kajian fundamental adalah sukar tetapi keputusannya amat penting memandangkan ia sebenarnya adalah antara teras atau bahagian penting kepada permulaan penyelidikan yang lain.

Selasa September 19, 2006
Tahap kualiti udara tempat tertutup rendah
PORT DICKSON: Kajian tahap pencemaran dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di pejabat, hotel, tempat awam dan pusat hiburan mendapati tahap kualiti udara adalah tidak memuaskan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Sumber Manusia dan Pengaduan Awam negeri Datuk Peter Lai Yit Fee berkata keadaan persekitaran dalaman memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada kesihatan seseorang boleh terjejas atau tidak. "Udara dalaman yang tercemar dengan bahan kimia yang toksik akan memudaratkan dan akan memberi kesan buruk kepada penghuni bangunan berkenaan," katanya semasa merasmikan Seminar Kualiti Udara Dalaman anjuran JKKP Negeri Sembilan dan Melaka di sini, hari ini. Katanya setakat ini hanya kod amalan mengenai peraturan pengudaraan dalam bangunan diwujudkan sebelum undangundang mengenainya digubal dan dikuatkuasakan. Beliau berkata adalah penting untuk menggunakan pengudaraan mekanikal dan penghawa dingin di dalam bangunan bagi memastikan udaranya bebas bahan kimia toksik atau mikroorganisma yang boleh membawa penyakit. Katanya ini kerana seseorang individu menghabiskan masa sehingga 90 peratus dalam persekitaran dalaman iaitu di rumah, kereta dan pejabat dalam sehari. BERNAMA


Pencemaran dalam bangunan
Oleh ROSMALINA ABD. KADIR rosmalina.kadir@kosmo.com.my

AMBIL masa lima minit dan perhatikan keadaan siling dan dinding kediaman atau pejabat anda. Adakah anda menemui tompok-tompok hitam, cendawan-cendawan kecil yang mula menjalar atau perubahan warna yang tidak sekata? Sekiranya tanda-tanda tersebut wujud, ia bermakna kediaman yang anda duduki mengalami penyakit yang dikenali sebagai sindrom bangunan sakit (SBS). Sindrom ini besar kemungkinan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan kepada penghuninya. Sindrom ini bukan sahaja disumbangkan jangkitan-jangkitan kulat pada dinding dan siling rumah, tetapi dimudaratkan lagi dengan ruang peredaran udara yang tidak lancar sehingga menyebabkan penghuninya berasa tidak selesa. Perasaan tidak selesa berkenaan biasanya berbeza untuk setiap individu. Bagaimanapun, jangan abaikan perasaan itu sekiranya penyakit kecil seperti batuk, pening dan lemas mula wujud setiap kali berada dalam ruang yang sama.

Pencemaran udara bangunan

Menurut Ketua Unit Sains Kesihatan Persekitaran, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Juliana Jalaludin, kebanyakan kediaman dan bangunan hari ini dibina dengan aliran pengudaraan yang lemah menyebabkan bau dan pencemaran terperangkap di dalamnya, sekali gus menghalang proses pembersihan udara secara semula jadi.

“Habuk, cendawan, kulat, bakteria dan virus mampu mengisi udara dan dalam ruang kediaman kita. Ia mengakibatkan bau busuk, kerengsaan dan pelbagai respons alergi manakala pembebasan kimia daripada cat, pencuci, karpet dan bahan kimia lain turut disedut setiap hari,” katanya.

Juliana memberitahu, keadaan sedemikian yang berterusan akan memberi kesan kepada tahap kesihatan sehingga menyebabkan sakit kepala, sakit mata, bersin, batuk, kesukaran bernafas dan tiada mood untuk bekerja.
“Kesilapan masyarakat hari ini adalah mereka tidak menyedari bahawa pencemaran banyak berlaku dalam ruang kediaman atau pejabat mereka sendiri sehingga mereka mengabaikan simptom-simptom penyakit yang mereka hidapi.

“Mereka juga tidak sedar simptom-simptom berkenaan hilang apabila mereka meninggalkan ruang bangunan atau kediaman yang mengalami sindrom sakit berkenaan,” katanya.

Oleh itu katanya, amat penting untuk penghuni sesebuah kediaman atau bangunan untuk melaporkan sebarang keadaan tidak selesa setiap kali berada dalam ruang berkenaan atau menjalankan pemeriksaan kualiti udara dalaman (IAQ) dengan pihak yang berkelayakan.

Sesebuah bangunan boleh dikategorikan sebagai sakit apabila lebih 30 peratus penghuninya mengadu menghidapi simptom-simptom yang dinyatakan tetapi kebanyakan simptom berkenaan hilang apabila pengadunya meninggalkan bangunan tersebut.

Menurut Juliana, sumber pencemaran lain yang menjadi punca sindrom bangunan sakit adalah aktiviti penyelenggaraan yang tidak teratur, bahan kimia, bahan pencuci, ubah suai bangunan, perabot-perabot baru, kelengkapan pejabat sedia ada dan sebagainya.
Pemeriksaan khas

“Melalui pemeriksaan menggunakan instrumen khas, pencemaran-pencemaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar boleh dikenal pasti antaranya kontaminasi kimia seperti karbon dioksida, karbon monoksida, formaldehid, kompaun organik meruap dan asap tembakau.

“Pencemaran udara juga dilihat melalui suhu udara, kelembapan dan kelajuan udara yang tidak seimbang selain pembebasan agen biologikal seperti virus dan spora serta radiasi seperti radon,” jelasnya.

Juliana memberitahu, terdapat pelbagai jenis instrumen di pasaran atau ditawarkan pengamal kesihatan untuk tujuan pemeriksaan. Ia digunakan untuk menentukan suhu dan kelembapan udara serta kadar partikel bawaan udara, partikel ultra halus (UFPs) dan kimia aerosol.
“UFPs adalah partikel bersaiz kurang 0.1 mikrometer yang terhasil daripada aktiviti pembakaran dan reaksi kimia. Pernafasan yang mengandungi partikel pula mencabar tahap pertahanan semulajadi badan,” katanya.

Dalam pada itu, Juliana memberitahu pembakaran lingkaran nyamuk turut memberi kesan kepada kesihatan pernafasan kanak-kanak kerana pembakaran bahan utama penghalau nyamuk itu iaitu insektisida piretroid membebaskan gas yang berbahaya.
“Pembakaran komponen-komponen daripada lingkaran nyamuk ini akan membebaskan gas yang apabila kanak-kanak bernafas ia akan masuk kebahagian bawah paru-paru dan berkemungkinan menyebabkan karsinogenik yang menyebabkan kanser.
“Gas-gas ini juga mampu mengganggu sistem pernafasan dan pendedahan berpanjangan meningkatkan risiko penyakit asma dan berdehit ke atas kanak-kanak,” tambahnya.

Justeru katanya, masyarakat perlu memiliki pengetahuan mengenai SBS bagi mengawal persekitaran dalaman sama ada kediaman mahu pun ruang pejabat. Selain itu kaji selidik perlu dijalankan sekiranya wujud simptom-simptom kesan SBS ke atas manusia.

“Sekiranya simptom-simptom wujud di dalam pejabat, buat aduan kepada pihak pengurusan supaya pemeriksaan dapat dijalankan, manakala di rumah, penghuninya boleh memilih produk mesra alam yang tidak merbahayakan kesihatan dan tidak membebaskan habuk.
“Kerajaan juga harus menilai semula kod COP berkaitan supaya pemantauan pencemaran persekitaran dapat dilakukan secara menyeluruh dan tidak menumpu kepada pencemaran luaran sahaja,” katanya.












No comments:

Post a Comment