Sunday 29 April 2012

bayi mati di TASKA



Dua bayi sah mati di TASKA tak berlesen

Oleh Mohd Zin Ali mdzin@bharian.com.my 2010/09/26

Taman asuhan diarah hentikan operasi tiga hari

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam mengesahkan dua bayi yang mati dipercayai tersedak susu dalam kejadian berasingan di Putrajaya, Isnin dan Selasa lalu, berlaku di dua taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang tidak berdaftar. Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghentikan operasi kedua-dua TASKA berkenaan selama tiga hari bagi membolehkan jabatan itu membuat penyelidikan manakala pihak polis melakukan siasatan. “Kementerian kesal dengan kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga bayi berkenaan. Saya berharap ibu bapa lebih peka dengan menyiasat terlebih dulu sebelum menggunakan khidmat TASKA itu termasuk memastikannya memiliki perakuan pendaftaran. Jika tiada, laporkan kepada JKM pada masa terdekat atau menghubungi talian Nur 15999.“TASKA yang beroperasi secara haram ini melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta TASKA 1984 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Johor 2010 di Teluk Danga, semalam.

Media semalam melaporkan kematian seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang dipercayai dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya di sebuah pusat asuhan di Presint 9, Putrajaya, Selasa lalu manakala satu kes lagi bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat masalah sama di sebuah pusat asuhan lain, Isnin lalu.
Shahrizat berkata, ketika ini, JKM hanya mendaftarkan sebanyak 413 TASKA berbanding lebih 2,000 TASKA yang dipercayai beroperasi di negara ini.

Katanya, pengusaha TASKA dipercayai menjadikan kesukaran mendapatkan kelulusan tiga agensi kerajaan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan sebagai alasan gagal mereka memiliki lesen pendaftaran dengan JKM.



ALOR SETAR: Seorang bayi perempuan berusia 46 hari meninggal dunia pada hari pertama dihantar ke sebuah taska di Taman Serindit di sini, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.Nur Alyssa Dania Mohd Saipol, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, petang semalam (Khamis) kira-kira pukul 3 petang selepas dihantar oleh pihak taska pada pukul 1.30 petang kerana kelihatan terlalu lesu.Bapanya, Mohd Saipol Rizal Abu Seman, 26, seorang pembantu restoran berkata sebelum dihantar ke taska, anaknya kelihatan sihat seperti biasa dan semalam hari pertama dia serta isteri Roslina Roslin, 27, menghantar bayinya itu ke taska berkenaan.Katanya mereka menghantar Nur Alyssa Dania sebaik habis tempoh berpantang bagi membiasakannya dengan persekitaran baru sebelum Roslina yang bekerja sebagai pembantu farmasi mula bertugas Selasa ini."Kami hantar anak ke taska pukul 8.30 pagi semalam dan dapat tahu anak dimasukkan ke hospital menerusi panggilan telefon daripada pihak hospital pada pukul 3 petang semalam. "Anak saya disahkan meninggal dunia pukul 3 lebih. Doktor ada beritahu berdasarkan laporan awal bedah siasat ada jangkitan sedikit pada paru-paru dan tiada kesan macam penderaan," kata Mohd Saipol kepada pemberita di sini hari ini. Mohd Saipol bagaimanapun berkata dia akan menunggu laporan siasatan terperinci pihak polis terlebih dahulu sama ada untuk mengambil sebarang tindakan terhadap pihak taska.Katanya jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kota, Sungai Mati Jalan Langgar dekat sini pagi tadi.Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan punca utama kematian bayi itu."Doktor pun tidak dapat hendak sahkan punca bayi itu boleh meninggal dan buat masa ini kami klasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut," katanya.Beliau berkata pihak polis akan meneruskan siasatan menyeluruh termasuk mendapatkan kenyataan daripada pelbagai pihak yang terlibat sebelum sebarang tindakan lanjut diambil. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment