Saturday 24 March 2012

TERLANGGAR ANAK DENGAN KERETA



Seorang ibu meraung sambil mendakap erat mayat anak perempuannya yang terbunuh apabila kereta dipandunya tiba-tiba mengundur sebelum menggilis kepala mangsa hingga pecah. Dalam kejadian ngeri di Jalan 25/70A, Sri Hartamas kira-kira jam 2 petang semalam, ibu warga Korea berusia 20-an terbabit dikatakan tertekan gear mengundur menyebabkan tayar belakang menggilis kepala anaknya yang kebetulan berada di belakang kereta itu. Sebelum itu, mangsa, Isabel Chong, 3, dan bapanya sudah turun awal dari kereta untuk makan di restoran berhampiran manakala ibunya masih dalam kereta. Mangsa berada di belakang kereta kerana mahu menunggu ibunya. Kemalangan ngeri itu menyebabkan Isabel yang memakai kemeja-T dan seluar pendek merah jambu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Mayat mangsa terperosok di bawah kereta sambil ibunya menangis dan cuba menolak kereta berkenaan.
Wanita itu yang tidak dapat menahan kesal atas perbuatan yang disifatkannya sebagai kecuaian hingga membunuh anaknya sendiri menghantuk kepalanya berulang kali pada kereta. Seorang saksi, Shahidah Hussin, 19, berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas di kedai menjual peralatan kamera tidak jauh dari tempat kejadian. “Tiba-tiba saya terdengar bunyi objek meletup di luar kedai sebelum mendapati sebuah Proton Wira terbabas menaiki bahu jalan sebelum melanggar pokok. “Orang ramai kemudian berpusu-pusu mengelilingi tempat kejadian dan melihat seorang wanita muda menangis berikutan terdapat sekujur tubuh kanak-kanak di bawah kereta terbabit berlumuran darah,” katanya. Menurutnya, wanita terbabit dipercayai ibu kanak-kanak itu menjerit sambil menghantuk kepalanya pada kereta. Orang ramai yang simpati berusaha mengangkat kereta itu sebelum mayat mangsa ditarik keluar.
“Sebaik mayat kanak-kanak itu dikeluarkan, ibu mangsa segera memeluk mayat anaknya sambil meraung kesedihan tanpa menghiraukan orang ramai melihatnya,” katanya. Menurutnya, suami mangsa yang turut berada di situ jadi tidak keruan sebelum anggota polis tiba bagi mententeramkan keadaan. “Selepas dipujuk, ibu kanak-kanak malang itu yang menangis tidak henti berjaya ditenteramkan sebelum mayat diusung menaiki pacuan empat roda polis untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya. Sementara itu, sumber polis berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika wanita terbabit, Tan Lih Ying, 29, cuba memperbetulkan kedudukan keretanya sebelum dipercayai tersilap memasukkan gear. Menurutnya, kereta terbabit mengundur tiba-tiba lalu menggilis kepala anaknya itu yang berdiri di belakang kereta berkenaan.
“Difahamkan, sebelum kejadian, suami wanita terbabit baru saja keluar dari kereta bersama anaknya itu untuk ke restoran berhampiran. Bagaimanapun, kereta itu tiba-tiba mengundur sebelum tayar hadapan dan belakang kereta itu menggilis kepala mangsa. “Anggota perubatan Emergency Resource Management yang tiba beberapa minit kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum polis dihubungi bagi menjalankan siasatan,” katanya. Bapa kanak-kanak berkenaan, Eu Gene Chong, 27, enggan ditemuramah wartawan sebaik ditemui di perkarangan Bilik Mayat HKL. Eu yang masih trauma bertindak menghalau wartawan yang cuba menghampiri sebelum pasangan berkenaan beredar dari hospital berkenaan jam 4.30 petang. Difahamkan, polis sehingga kini belum mengambil keterangan daripada suri rumah berusia 29 tahun berikutan wanita terbabit masih trauma.

Mangsa maut ekori kenderaan tanpa disedari pemandu sedang mengundur .. KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun maut selepas digilis kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapanya ketika mengundur di rumahnya di Kampung Dusun, Kuala Lipis, dekat sini, petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang, Nurfazliyana Jais, dipercayai mengekori bapanya yang hendak ke kebun melihat tanaman.
Bapanya, Jais Selamad, 45, tanpa menyedari perkara itu terus menghidupkan kenderaan untuk berundur tetapi berasa seperti melanggar sesuatu lalu keluar untuk melihatnya. Beliau terkejut apabila mendapati anak bongsunya terbaring berlumuran darah di kepala dan terus membawanya ke Hospital Kuala Lipis (HKL). Sebelum kejadian, Jais bersama isteri, Rosaida Mustafa, 39, dan empat anaknya termasuk Nurfazliyana menikmati bubur di rumah mereka. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata siasatan awal mendapati, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat digilis tayar pacuan empat roda berkenaan. Katanya, polis sudah mengambil keterangan bapa mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jais yang dihubungi masih dalam kesedihan kerana kehilangan anak bongsu kesayangannya. Walaupun reda dengan kejadian itu, dia tetap sedih kerana kejadian itu amat memilukan. “Saya tidak akan dapat memaafkan diri saya dengan kejadian ini. “Kami sekeluarga sedang menikmati bubur yang saya beli di sebuah restoran makanan segera di bandar Jerantut. “Seketika kemudian, saya menyatakan hasrat pergi melihat tanaman di kebun tanpa menyedari arwah berada di belakang kenderaan,” katanya. Beliau berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dusun, kira-kira jam 11 pagi, semalam.



No comments:

Post a Comment